Monday, September 29, 2008

Pergunungan Alps




Kembara rel dari Bregenz, Austria ke ibu kota fesyen, Milan, Itali
PELUANG menaiki kereta api merentasi Pergunungan Swiss atau Swiss Alps boleh dianggap antara pengalaman hebat pernah dialami penulis. Bayangkan panorama gunung menghijau dengan puncak diliputi salji, deretan cottage atau rumah cantik dihiasi bunga segar, sungai mengalir tenang dan lembu peliharaan meragut rumput - semua elemen ini seolah-olah bersatu menerbitkan pesona yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Berkunjung ke Zurich, Switzerland, dua minggu lalu bagi membuat liputan sambutan 25 tahun jam tangan plastik keluaran Swiss, Swatch dan koleksi James Bond Villainnya, penulis dibawa The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd mengembara ke empat negara Eropah dalam tempoh singkat enam hari - sungguh mengujakan!
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Zurich, kami dibawa menaiki bas ke hotel penginapan di Lindau, Jerman. Penulis berulang kali meneliti program tugasan kerana tidak pasti apakah kami akan dibawa ke sebuah lagi negara di Eropah, iaitu Jerman. Masih menyangka berlaku kesilapan dalam program, rupa-rupanya Lindau adalah sebuah pulau di Jerman yang letaknya pada jarak kira-kira dua jam perjalanan dari Zurich.
Penulis juga mendapati lokasi sambutan ulang tahun ke-25 Swatch dan koleksi James Bond Villain pula di sebuah kemudahan konvensyen dan pameran di Festspielhaus di Bregenz, Austria. Keliru dengan kedudukan lokasi setiap acara, penulis merujuk peta lalu menyedari semua tempat dipisahkan Tasik Constance atau Bodensee dalam istilah Jerman. Tasik sepanjang 63 kilometer ini ‘dikongsi’ tiga negara iaitu Jerman, Switzerland dan Austria. Peluang berada di tiga negara dalam tempoh perjalanan dua jam, sungguh unik walaupun kadang kala keliru dengan faktor geografi.
Konsep ‘pintu terbuka’ dengan pemeriksaan hanya dibuat di pintu masuk utama di Zurich, membuatkan perjalanan menjelajah Switzerland, Jerman dan Austria amat menyeronokkan tanpa perlu berdepan kerenah anggota imigresen atau kawalan ketat pintu masuk. Meninjau persekitaran menghijau di Bregenz, Austria dan Lindau, Jerman jelas elemen Swiss cukup ketara pada seni bina, landskap dan kehidupan seharian masyarakatnya.
Tasik Constance yang mencapai keluasan 571 kilometer memberi pengaruh kuat terhadap kehidupan masyarakat setempat yang menghargai alam sekitar, keindahan flora dan fauna. Tidak hairanlah hampir setiap rumah menanam pokok bunga menghiasi jendela dan halaman sungguh menarik. Di Lindau misalnya, reka bentuk rumah, bangunan dan kedai begitu indah sehingga diri bagai terasa berada di dunia khayalan atau fairytale. Selesai program Swatch di Bregenz, kami memulakan kembara kereta api ke Milan. Pada mulanya kami terlepas tren pertama, tetapi mujur seorang pemuda Austria merapati kami lalu mencadangkan kami menaiki tren seterusnya ke Innsbruck, Austria sebelum mendapatkan sebuah lagi tren menuju ke Milan dari stesen Verona Porta Nuova.
Sebaik tren tiba dan meletakkan bagasi, bermulalah detik hebat bagi perjalanan rel melepasi Pergunungan Alps. Bagi tempoh 30 minit pertama, tren dinaiki melepasi beberapa kawasan penempatan pinggir bandar Bregenz dan beberapa daerah lain. Suasana bandar kemudian berubah apabila tren memasuki kawasan perindustrian yang mana banyak kilang berasaskan pertanian termasuk tenusu memenuhi pandangan.
Tidak lama selepas itu, rumah atau cottage dengan seni bina Swiss serta bunga hiasan beraneka warna mula diperhatikan sekali gus menandakan kami mula menghampiri kawasan pergunungan. Bagi tempoh empat jam berikutnya, penulis leka dengan pemandangan menakjubkan Pergunungan Alps. Banjaran gunung tinggi melangit, padang rumput menghijau, air terjun dan pohon pain meliputi hutan memberi impak sukar yang digambarkan. Teringat babak dalam filem muzikal hebat, The Sound of Music - begitulah aura kehebatan Swiss Alps. Perjalanan hampir lapan jam akhirnya membawa kami ke Milan, ibu kota fesyen dunia.
INFO: Pergunungan Alps

Pergunungan Alps atau Swiss Alps dikenali sebagai Schweizer Alpen dalam bahasa Jerman; Alpes suisses (Perancis) dan Alpi svizzere (Itali).

Puncak tertinggi Pergunungan Alps ialah Dufourspitze, berhampiran sempadan Swiss-Itali pada ketinggian 4,634 meter dari aras laut.

Gunung tertinggi dalam banjaran atau Pergunungan Alps ialah Dom iaitu pada ketinggian 4,545 meter dari aras laut.

Pergunungan Alps merangkumi 61 peratus daripada kawasan permukaan Switzerland atau 41,285 kilometer. Bagaimanapun, jumlah ini hanya 13.2 peratus daripada jumlah keluasan Pergunungan Alps sepenuhnya.

Pergunungan Alps menjadi antara destinasi percutian pilihan dunia. Switzerland misalnya, mempunyai rangkaian 62,000 kilometer laluan atau jejak yang diselenggara dengan baik.
Daripada jumlah ini, 23,000 kilometer terletak dalam kawasan pergunungan.

Di Switzerland, destinasi percutian musim sejuk dan ski pilihan ialah Valais, Bernese Oberland, Graubunden, Davos, Grindelwald, St Moritz dan Zermatt yang mempunyai kemudahan bermain ski sepanjang tahun.

No comments: