Wednesday, August 6, 2008

Kota seni penuh keunikan

ISTANA Hofbugh menyimpan pelbagai khazanah peninggalan Franz Joseph I.

APARTMEN Hundertwasserhaus hasil gabungan seni bina moden dan alam semula jadi
Vienna yang mewarisi sejarah panjang tamadun manusia menawarkan pelbagai kelebihan kepada tetamunya BERADA di Stephanplatz di tengah kota Vienna pada petang menjelang perlawanan separuh akhir Euro 2008 antara Russia dan Sepanyol, boleh membuatkan bulu roma tegak. Preobrajensky March, lagu patriotik Russia dan irama Latin menenggelamkan klasik Mozart yang menjadi kebanggaan rakyat Austria.

Penyokong kedua-dua pasukan seolah-olah lupa mereka berada di Vienna, bukan di Moscow atau Madrid. Hampir di setiap sudut, warna biru, putih, merah dan kuning menyelubungi dataran yang di kelilingi butik jenama mewah dari Prada, Zegna, Armani, Boss, Cartier, Gucci, Louis Vuitton dan pelbagai lagi.

Vienna memang kota mewah dan mahal. Di sebalik deretan bangunan lama bersejarah, sesekali kelihatan deretan pengunjung, terutama wanita yang terpaksa menunggu giliran untuk masuk ke butik menjual barangan berjenama - kebanyakannya dalam ruangan kecil yang hanya mampu menampung 20 pengunjung.

Satu lagi kawasan tumpuan membeli-belah ialah di Josefstoer strasse, pasar tradisional masyarakat Vienna dengan deretan gerai kecil menjual pelbagai barangan seperti Portobello di London atau Jalan Petaling di Kuala Lumpur.

Harga di sini agak murah, terutama jika anda ingin membeli cenderahati. Sebenarnya banyak lagi yang boleh dilakukan di Vienna selain membeli-belah. Dari St Stephen Cathedral, Schonbrunn, Hofburg Imperial Palace hinggalah bangunan moden di MuseumsQuartier, kota yang mempunyai sejarah panjang tamadun manusia ini menawarkan pelbagai kelebihan kepada tetamunya.

Istana Schonbrunn yang dibina antara 1695-1700 adalah tempat istirahat keluarga diraja Hapsburg pada musim panas. Ia menjadi saksi pelbagai peristiwa bersejarah. Marie Antoinette dibesarkan di sini, Mozart dan Napoleon pernah mengunjunginya, malah Kennedy dan Kruschoff mengadakan pertemuan di istana itu. Schonbrunn mempunyai 1440 bilik, tetapi hanya 40 bilik yang dibuka kepada orang ramai.

Hiasan dalaman dan perabot mewah menggambarkan kekayaan pemiliknya. Begitu juga tamannya yang luas, dipenuhi pokok bunga yang mekar pada musim bunga. Luangkan masa kira-kira 20 minit untuk menikmati keindahannya.

Sebuah lagi bangunan yang penuh bersejarah ialah Istana Hofburg. Ia kini dijadikan muzium mempamerkan pelbagai harta peninggalan Maharaja Franz Joseph I yang memerintah Austria antara 1846 hingga 1916.

Berdiri di tengah koleksi barangan perak yang digunakan ketika santapan istana sungguh mengasyikkan. Jika anda ingin melarikan diri dari kesibukan Stephanplatz, Kärntner Strasse dan Mariahilfer Strasse yang sentiasa padat dengan pengunjung, mungkin antara pilihan sesuai ialah melihat keunikan sebuah bangunan yang dibina di persimpangan Jalan Kegelgasse dan Lowengasse di Third District.

Bangunan itu dikenali sebagai Hundertwasserhaus, sempena nama arkiteknya yang juga seorang pelukis ternama, Friedensreich Hundertwasser. Ia sebenarnya adalah kompleks apartmen 52 bilik yang menggabungkan seni bina moden dengan alam semula jadi. Dengan pohon hijau serta bunga menjulur dari balkoni yang menyejukkan suasana serta pelbagai warna yang menghiasi dinding, ia memberikan kelainan sehingga mampu menarik perhatian ribuan pengunjung setiap hari. Malah, penggunaan pelbagai bahan sisa sebagai hiasan menambah lagi keunikannya.

Difahamkan ada kira-kira 250 pohon dan pokok bunga di sekeliling bangunan yang dibina pada 1983 dan siap pada 1986 itu, sesuai dengan hasrat Hundertwasser untuk mewujudkan tempat tinggal yang mesra alam bagi warga Vienna.

Vienna juga terkenal dengan taman bunganya seperti Burggarten, terletak tidak jauh dari Hofburg dan Opera House, Rathauspark yang direka bentuk sendiri oleh Franz Joseph I dan Stadtpark, taman di mana terletaknya Viennese Art Nouveau, galeri arca kontemporari termasuk hasil karya Donald Judd. Bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan alam semula jadi, Krems yang terletak di tebing Sungai Danube, kira-kira sejam perjalanan dari Vienna sudah pasti menggamit hati.

Kedamaian desa di pinggir kota dengan bangunan lama yang masih kukuh seolah-olah membawa kita ke zaman kegemilangan Empayar Rom. Memang banyak yang menarik di Vienna, cuma yang sering menjadi masalah ialah komunikasi kerana kebanyakan warga kota itu hanya berbahasa Jerman.

Selain itu, perawakan mereka yang agak serius, khususnya lelaki menyebabkan pelancong asing agak takut bertegur sapa dengan mereka. Vienna juga kota seni. Tidak hairanlah jika banyak dewan konsert di kota ini seperti di State Opera, Musikverein Golden Hall, Hofburg dan Konzerthaus. Anda juga akan bertemu ramai penjual tiket di setiap pusat pelancongan. Daripada tiket untuk konsert Mozart dan Strauss hinggalah persembahan Vienna Symphony Orchestra yang cukup popular.

Trabzon destinasi 'si pemburu' damai

PEMANDANGAN menarik di Uzungol, kira-kira 100 kilometer dari Trabzon.

BIARA Sumela yang dibina pada abad ke-14.

KAWASAN perumahan tepi bukit

Menjadi destinasi pilihan di Turki kerana keramahan penduduk dan warisan sejarah SEBAIK mencecah kaki ke Trabzon, wilayah yang berhadapan dengan Laut Hitam di Turki, selepas kira-kira sejam menaiki pesawat dari Lapangan terbang Istanbul, perkara pertama yang hendak dilihat ialah kebenaran mengenai dua isu yang banyak diperkatakan di Turki ketika itu iaitu masalah tudung dan azan di masjid. Namun sebahagiannya terjawab di Trabzon apabila sebahagian besar mereka memakai tudung. Setiap kali bertemu mereka akan mengucapkan salam.

Malah seorang lelaki yang agak berusia dengan pantas mengangkat beg berat dan meletakkannya di atas troli sambil memberi salam dan bertanya asal penulis. Mungkin kerana tudung yang dipakai berbeza daripada kebanyakan wanita di situ. Begitu juga sepanjang berada di bandar bersejarah itu, kanak-kanak yang mungkin jarang melihat dan melihat pelancong luar akan menegur sekurang-kurangnya dengan dua ayat. "What's your name. Where are you from?.

Itu mungkin kelebihan di Trabzon menyebabkan kita tidak berasa kekok berada di sana. Difahamkan kebanyakan pelancong sebelum ini adalah rakyat tempatan terutama dari Ankara yang ingin lari dari hiruk pikuk bandar dan bangunan pencakar langit di bandar raya besar untuk menikmati keindahan alam semula jadi di kawasan yang terletak di tepi Laut Hitam dan nyaman cuaca di kawasan tanah tinggi di sekitar bandar berkenaan selain peninggalan sejarahnya.

Kelebihan itulah kini cuba dijual oleh kerajaan Turki kepada pelancong asing yang kebanyakannya bertumpu di Istanbul dan bandar besar lain di negara itu.

Walaupun kami dibawa ketika musim panas, namun kedudukan wilayah yang dikelilingi tanah tinggi dan laut itu, menyamankan suasananya. Rombongan kami seramai tujuh orang termasuk wartawan dari Indonesia dan Brunei Darussalam itu di bawa ke pelbagai tempat bersejarah di Trabzon selain kawasan pelancongannya.

Antara tempat paling menarik ialah di Uzungol, kira-kira 100 kilometer dari bandar Trabzon. Ketika sampai ke tempat penginapan kami, memang terasa sunyinya daripada hiruk pikuk bandar raya. Alangkah bagus jika dapat tinggal lama di kawasan di kelilingi bukit dan tasik.

Setiap tahun kira-kira 200,000 pelancong datang ke Uzongol. Ketenangan amat dirasakan apabila kami berjalan-jalan di tepi tasik pada waktu malam. Memang penduduk Trabzon peramah, sebaik sampai ke sebuah gerai kami disediakan teh Turki yang amat terkenal di negara itu tetapi mungkin saya saja yang terasa teh itu amat pekat.
KAWASAN perumahan tepi bukit.

Kira-kira jam 10.30 malam, kami boleh mendengar azan Isyak yang berkumandang dari masjid di Uzungol manakala subuh, jam 4.15 pagi, sebelum kami terpaksa berlepas untuk melawat ke tempat lain. Kami dibawa pula ke Sumela Monastery (Biara Sumela) terletak di Gunung Zigana, kira-kira 50 kilometer dari bandar Trabzon yang dibina pada abad ke-14.

Letaknya betul-betul di tepi tebing di kawasan hijau semula jadi pada 1,200 meter dari paras laut pasti mengagumkan. Seni bina dan lukisan serta ukiran di batu yang masih kekal memukau mata. Namun banyak yang musnah akibat peperangan pada zaman dulu atau disebabkan cuaca yang mulai 'memakan' seni binanya.

Tapi kerajaan Turki sudah memulakan kerja pemuliharaan di kawasan itu. Satu lagi tempat menarik ialah kediaman Kamal Atartuk, yang dianggap pemimpin Turki moden. Bangunan dengan seni bina Eropah abad ke-19 terletak kira-kira tujuh kilometer dari Trabzon diambil alih oleh Majlis Perbandaran Trabzon pada 1964 untuk dijadikan tarikan pelancongan. Semua perabot dan peralatan yang digunakan Kamal Atartuk masih berada di dalamnya.

Kediaman di situ sebenarnya hanya dilawatinya ketika beliau berada di Trabzon pada tahun 1930 dan 1937 sebelum meninggal dunia pada 1938 di Istana Dolmabahce, Istanbul. Taman Negara Gunung Kackar yang dibuka kepada pengunjung pada 1994 pula mempunyai pelbagai spesies fauna termasuk beruang, babi hutan, musang, rusa, kambing hutan, kancil dan pelbagai lagi tetapi rombongan kami hanya dapat melihat rama-rama. Selain air terjun, kawasan seluas 51,500 hektar ini juga sarat dengan spesies floranya.

Sementara itu, Datuk Bandar Trabzon, M Volkan Canalioglu, berharap lebih ramai pelancong dari Asia Tenggara datang ke Trabzon. Katanya, pihaknya kini sedang berusaha memperbaiki kerosakan di kawasan bersejarah manakala menambah penginapan terutama bajet hotel untuk menampung pertambahan pelancong ke negeri itu.

INFO Bagaimana ke sana Dari Malaysia ke Istanbul

Malaysia Airlines (MAS) - transit di Dubai Dari Lapangan Terbang Changi, Singapura ke Istanbul

Turkish Airlines - tiga kali seminggu

Dari Istanbul ke Trabzon menaiki Turkish Airlines Tempoh perjalanan
Kira-kira 11 jam dari Lapangan Terbang Changi sehingga ke Istanbul
Istanbul ke Trabzon kira-kira satu jam Visa Pemegang pasport Malaysia dikecualikan daripada mengambil visa bagi perjalanan tidak melebihi 90 hari

Maklumat lanjut sila layari: www.goturkey.com / www.kultur.gov.tr


Bandar atas air





Zhouzhuang antara empat bandar purba yang punyai sejarah lebih 1,700 tahunTERLETAK di pinggir bandar raya Shanghai, Zhouzhuang adalah bandar atas air purba yang amat terkenal di seluruh China, dengan nilai sejarah lebih 1,700 tahun. Meliputi kawasan seluas 47 kilometer (km) persegi, kampung kecil berbentuk seperti kipas kecil, berkerlipan umpama sebiji mutiara cerah dalam tasik dan pergunungan.

Turut dikenali dengan satu gelaran lain - 'Pearl Stream' (anak sungai mutiara) - bandar kecil itu adalah satu daripada empat bandar purba di Shanghai yang dipulihara dengan baik.

Jambatan lama unik menyeberangi anak sungai, dilindungi pohon willow dan deretan rumah yang berserambi, memikat pengunjung dan warga tempatan yang selama ini hidup di tengah kesibukan dan hiruk pikuk bandar moden kepada dunia baru penuh nilai antik, santai dan ketenangan. Tidak hairanlah jika melawat Zhouzhuang tanpa menikmati keunikan jambatan bermakna anda belum benar-benar pernah berada di situ.

Jambatan di bandar itu begitu kaya dengan nilai tersendiri dan purba, dibina ketika Dinasti Ming dan Qing. Bandar lama itu dihubungkan dengan 36 jambatan dalam pelbagai bentuk dan corak, diperbuat sama ada menggunakan kayu, batu mahupun mamar.

Jambatan Fangsheng atau turut dikenali sebagai Jambatan Kebebasan adalah jambatan batu terpanjang, terbesar dan tertinggi dengan lima terowong, memberi kesempatan kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan keseluruhan bandar Zhouzhuang. Jambatan itu dibina pada 1571.

Di atas jambatan itu terdapat batu peringatan diberi nama Batu Pintu Naga, yang diukir dengan lapan naga mengelilingi sebutir mutiara. Ada empat ukiran batu berbentuk naga juga terdapat di atas jambatan berkenaan.

Jambatan Fangsheng, jambatan terpanjang di Zhouzhuang.

Jambatan Lang (Jambatan Serambi) juga dikenali sebagai Jambatan Huimin, adalah jambatan kayu tunggal dan muncul jambatan paling terkenal di bandar itu.

Jambatan Lang mempunyai palang kayu di kedua-dua belah sisi dan cucur atap terbalik di atasnya, sama seperti koridor yang sempit. Lorong utama atau Lorong Utara di bandar itu yang begitu purba, dipenuhi bangunan lama ketika Dinasti Ming dan Qing, memang memikat pengunjung tempatan mahupun asing.

Memang Lorong Utara yang cuma sepanjang satu kilometer itu, adalah lorong purba terbaik yang dipulihara di kawasan subbandar Shanghai. Pemandangan yang begitu purba sepanjang penjelajahan di bandar terapung itu sambil menghargai bangunan sejarah, deretan kedai dan jambatan lama serta lorong sempit pasti menyuntik kegembiraan.

Zhouzhuang juga terkenal dengan taman cantik dan luas yang menyerikan bangunan lama yang dibina ketika Dinasti Ming dan Qing. Di antara seni bina purba terkenal seperti Ke Zhi Yuan iaitu taman manor terbesar di bandar itu. Taman itu biasa dipanggil 'Taman Keluarga Ma' sempena nama bekas pemiliknya, Ma Wenqin.

Terletak di Lorong Xijin Street, utara bandar berkenaan, Ke Zhi Yuan menampilkan pemandangan indah dan senyap serta persekitaran yang nyaman.

Ia mengandungi tiga bahagian iaitu kawasan dewan, bukit tiruan dan taman. Kawasan bukit tiruan pula, terdapat seni binaan simbolik menarik iaitu bangunan lima tingkat segi empat, di puncaknya terdapat astaka yang diberi nama "Moon Viet Pavillion".

Bangunan ini dianggap binaan tertinggi di situ. Segala pemandangan yang dijelaskan hanyalah sebahagian daripada tarikan yang ada di Zhouzhuang.

INFO: Zhouzhuang

Bandar atas air purba yang mempunyai nilai sejarah lebih 1,700 tahun.

Mempunyai keluasan 47 kilometer persegi.

Dikenali sebagai Pearl Stream atau anak sungai mutiara.

Jambatan Fangsheng dibina pada 1571, di atasnya ada batu peringatan dikenali sebagai Batu Pintu Naga.

Jambatan Lang adalah jambatan kayu tunggal yang terkenal di bandar ini.
Kebanyakan bangunan di bandar ini dibina ketika Dinasti Ming dan Qing.
Ke Zhi Yuan adalah taman manor terbesar di bandar ini.

Mendaki gunung Annapurna







MENAKLUKI puncak tertinggi dunia menjadi impian setiap pendaki gunung seantero dunia, apatah lagi jika mampu menjejakkan kaki di atas 'atap dunia' di Banjaran Himalaya iaitu Gunung Everest di Nepal. Pencapaian tertinggi dalam dunia pendakian itu dianggap 'lesen besar' di kalangan pendaki kerana kehebatan cabarannya sepanjang perjalanan ke puncak.

Namun, Nepal masih mempunyai banyak kawasan pendakian lain yang tidak kurang hebatnya iaitu Gunung Annapurna yang mempunyai ketinggian 6,983 meter dari paras laut dan tersenarai dalam 10 gunung tertinggi dunia. Semuanya itu mampu memberikan kepuasan kepada pendaki menjamah pengalaman berharga di banjaran Himalaya terutama bagi pendaki tegar.

Satu kumpulan pendaki dari Malaysia dikenali sebagai GTF (Geng Take Five) turut menyahut cabaran merasai sendiri cabaran mencapai puncak Annapurna April lalu.

Mereka berkongsi pengalaman dengan pembaca Berita Minggu mengenai kenikmatan, cabaran sepanjang ekspedisi itu yang disertai 14 peserta. Jejak ke Annapurna Base Camp (ABC) bermula dari lapangan terbang di Kathmandu iaitu ibu negara Nepal yang menjadi pintu masuk ke gerbang pengembaraan tanpa had di Banjaran Himalaya.

Mereka menaiki bas ke Pokhara, bandar yang menjadi laluan pertama ke ABC. ABC berada pada ketinggian 4,130 meter iaitu kem pertama yang mesti dilalui pendaki yang ingin menakluki Gunung Annapurna. Sepanjang perjalanan merentasi banjaran, mereka dihidangkan dengan pelbagai pemandangan cantik daripada segi landskap muka bumi serta cara hidup dan budaya penduduk tempatan.

PENDUDUK tempatan turut menggunakan keldai untuk mengangkat barang keperluan harian.

Dari Pokhara, pendaki boleh menaiki van atau teksi ke Fhedi iaitu 'check point' di mana pendaki akan memulakan langkah ke ABC yang memakan masa tujuh hari enam malam pergi balik.

Di sini sherpa atau potter akan memainkan peranan membantu membawa beg pendaki serta peralatan. Pendaki hanya perlu membawa beg kecil mengandungi baju hujan, air dan bekalan makanan ringan sebagai bekalan tenaga sepanjang perjalanan.

Pekan yang menjadi laluan pendaki bergantung kepada pilihan masing-masing, antaranya Pothana, Jhinu, Sinuwa, Bamboo, Himalaya dan Deurali. Menariknya penduduk di situ masih menggunakan cara tradisional menanam padi dan gandum yang menjadi makanan utama mereka.

Mereka menggunakan baja organik daripada lembu serta seladang peliharaan dan boleh dikatakan kehidupan mereka langsung tidak disentuh permodenan. Ketua ekspedisi, Mohd Zaifullah Mustafa, 35, berkata semakin jauh perjalanan, semakin banyak pemandangan indah boleh dilihat di sepanjang banjaran. "Macam-macam kami jumpa dan lihat.

Daripada gunung yang hijau puncaknya bertukar kepada gunung diliputi salji, daripada penduduk bercucuk tanam kepada penduduk yang menyara hidup mencari kayu api atau bekerja sebagai sherpa. "Memang tiada kenderaan memasuki laluan ini kecuali keldai sekali gus menjadikan khidmat sherpa bukan saja diperlukan pendaki asing tetapi penduduk tempatan untuk mendapatkan bekalan harian mereka," katanya.

Himalaya bermula apabila semua gunung berakhir. Walau di manapun trek dipilih, majoriti laluan adalah pada ketinggian 1,000 meter dan 3,000 meter daripada paras laut. Kebanyakan masa pendaki akan dihabiskan pada ketinggian 1,500 hingga 2,000 meter.

Mendaki pada ketinggian ini akan mendedahkan kepada 'Acute Mountain Sickness (AMS) iaitu keadaan menyebabkan pendaki dipengaruhi faktor ketinggian. Antara tandanya ialah pening, loya, gayat, keletihan melampau, sesak nafas, kurang selera makan dan sakit kepala.

Dari Deurali ke Machapuchee Base Camp (MBC), suhu mula turun dan suhu waktu malam mencecah antara 2 Celsius hingga -9 Celcius. Bahkan, jika cuaca buruk, salji juga akan turun di sini.

Pada hari ketiga pendakian, mereka sampai ke MBC yang turut menempatkan kabin untuk pendaki bermalam. Disebabkan kabin di ABC sudah penuh, mereka hanya naik ke ABC sebelum turun semula ke MBC untuk bermalam.

Laluan dari MBC ke ABC sentiasa diliputi salji tetapi tahap ketebalannya bergantung kepada musim. Ketika inilah penting pendaki mematuhi arahan pemandu pelancong untuk mengelak mereka tersalah trek kerana kemungkinan laluannya licin dan berlubang.

INFO: Sejarah pendakian di Nepal

Nepal mula membuka laluan ke gunung ganang ini kepada pendaki seluruh dunia pada tahun 1949

Bagaimana ke sana

Peserta boleh menggunakan khidmat World Vision Travel & Tours berpangkalan di Thamel, Kathmandu, Nepal. (www.worldvisiontours.com)