Monday, February 4, 2008

Daniel Bego, Chai Lin Olimpian 2007

Daniel Bego (kiri) bersama Koo Chai Lin dinobatkan selaku Olimpian Majlis Olimpik Malaysia 2007
Atlet renang negara, Daniel Bego dan Koo Chai Lin dinobatkan sebagai Olimpian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2007.

Kedua-dua atlet renang itu yang akan menyertai Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini beraksi cemerlang di Sukan SEA, Korat dengan merangkul dua pingat emas di samping memecah rekod kejohanan.

Kali terakhir pengiktirafan tertinggi kepada atlet sukan renang dimenangi Elvin Chia pada 1999.
Pemilihan Daniel Bego bagi kategori lelaki mengetepikan calon yang lain seperti Qabil Ambak (ekuestrian), Yeoh Ken Nee (terjun), Lim Yoke Wai (karate) dan Cheng Chu Sian (memanah).
Perenang yang berasal dari Sarawak itu memenangi dua pingat emas di Korat dalam disiplin 100 meter kuak kupu-kupu dan 200 meter gaya bebas.

Sementara Koo Chai Lin yang mengungguli kategori Olimpian wanita menewaskan dua lagi calon lain iaitu Leong Mun Yee (terjun) dan Lim Wen Chean (gimnastik berirama).

Prestasi yang begitu mengejutkan dipamerkan oleh perenang itu di Korat dengan merangkul dua pingat emas dalam acara 400m dan 800m gaya bebas termasuk memecah rekod Sukan SEA.

Tahun lalu, anugerah Olimpian dimenangi pasangan beregu badminton negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong manakala atlet boling, Ester Cheah mengungguli kategori wanita.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said dan Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.