Monday, September 15, 2008

Mirip Acropolis, Athina Afea terletak di Pulau Aegina
Lokasi Aegina, Greece
Tinggalan sejarah, kebudayaan singkap keunikan tamadun Greek JIKA berkunjung ke Greece, jangan lupa menyenaraikan Aegina sebagai satu daripada destinasi lawatan anda. Terletak di dalam gugusan kepulauan Saronic, Aegina adalah antara pulau tercantik di Laut Mediteranean.
Dengan reputasi itu, Aegina tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara. Mewarisi tamadun Greek yang panjang, pulau dengan populasi sekitar 13,500 penduduk ini telah didiami sejak zaman neolitik lagi (kira-kira 3,000 tahun sebelum masihi). Suatu ketika dulu Aegina pernah menjadi pangkalan tentera laut yang utuh kepada Greece. Pulau ini juga menjadi benteng pertahanan dan penyumbang kepada kedaulatan Greece ketika peperangan dengan Turki pada 1821.

Sebaik saja tiba di pelabuhan Piraeus yang menghubungkan Aegina dari tanah besar Greece, jelas menunjukkan pesatnya industri pengangkutan laut dan perkapalan di negara ini. Difahamkan sebahagian besar pemilik kepada syarikat pengangkutan laut di Laut Mediteranean ini dikuasai oleh rakyat berbangsa Greek.
Dengan jarak kira-kira 16 batu nautika, perjalanan menaiki feri atau popular dengan perkhidmatan “Flying Dolphin” dari Piraeus mengambil masa hampir sejam. Sebaik saja menjejakkan kaki di jeti pelabuhan di Pulau Aegina, pengunjung terus bertemu dengan bandar Aegina yang terletak di bahagian barat pulau.
Pelabuhan ini kelihatan sentiasa sibuk dengan deretan kapal dan bot berulang alik atau sedang berlabuh.

Tidak jauh dari pelabuhan, terdapat deretan premis perniagaan menjual pelbagai barangan termasuk cenderamata untuk dibawa pulang.
Di antara barangan yang terdapat di sini termasuk tembikar, pakaian, barangan kulit, barang-barang hasil kesenian Greek seperti barangan kemas tradisional yang diperbuat daripada emas dan perak.
Pengunjung juga berpeluang untuk bersiar-siar dengan menaiki kereta kuda yang memang terkenal dan sinonim sebagai tarikan ke destinasi ini. Satu daripada tempat yang terkenal serta menarik perhatian pelancong di sini ialah Aghia Marina. Ia dapat dihubungkan melalui jalan raya dan terletak kira-kira 14 kilometer dari Aegina.
Sepanjang perjalanan pengunjung akan dapat menikmati kehijauan pulau juga panorama menarik dengan laut membiru, pantai yang bersih dan cantik. Sememangnya Aghia Marina menjadi pilihan pengunjung yang berhasrat menikmati keindahan laut dan pantai..
Peluang menikmati makanan laut segar dari Laut Mediteranean memberikan suatu pengalaman menarik. Terdapat banyak restoran, café dan hotel menghidangkan makanan laut yang cukup istimewa di sini. Kelihatan banyak bot nelayan moden berlabuh di sekitar perairannya. Perdika dan Vaia adalah penempatan nelayan moden yang indah dan terkenal di pulau ini.
Aegina turut terkenal dengan arkeologi dan monumen bersejarah. Di antara yang terkemuka ialah Athina Afea. Rumah ibadat zaman kuno ini hampir menyamai bentuk dan struktur bangunan Acropolis di Athens.
Athina Afea disifatkan sebagai monumen paling cantik di Teluk Saronic. Ia dibina dengan bahan tempatan pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Jaraknya hanya empat kilometer dari Aghia Marina

Satu lagi warisan Greek tua di sini ialah gereja Aghios Nektarios. Bangunan berciri Byzantine ini mempunyai seni bina unik yang bertingkat-tingkat dengan corak hiasan daripada batu-batu mozek. Melihat kepada kesan dan tinggalan sejarah silam tamadun Greek di sini, pengunjung bagaikan berada pada suatu peradaban zaman lampau yang amat jauh.



INFO: Aegina


Pulau ini mempunyai keluasan kira-kira 87 kilometer persegi

Puncak tertinggi di pulau ini ialah Gunung Oros dengan ketinggian 531 meter (1742 kaki)
Bandar Aegina didiami kira-kira 55 peratus, iaitu 7,500 penduduk daripada keseluruhan populasi pulau ini.

Ramai di kalangan hartawan Greece dari tanah besar mempunyai kediaman di pulau ini dan mendiaminya pada musim panas.

No comments: