Monday, April 21, 2008



Antara rakyat China yang turut meraikan larian obor temasya olimpik di Dataran Merdeka

21 April 2008 – Larian Obor Temasya Olimpik Beijing 2008 bermula tepat pukul 2.20 petang di Dataran Merdeka di sini dalam suasana penuh meriah tanpa sebarang kekecohan.


Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menjadi pelari pertama membawa obor itu sebelum ia diserahkan kepada selebriti dan atlet sukan lain yang akan mengelilingi bandar raya Kuala Lumpur.


Antara mereka yang terlibat dalam larian obor itu ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996 iaitu pasangan beregu badminton Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock, manakala atlet yang lain ialah ratu boling negara Shalin Zulkifli dan bekas bintang bola sepak Malaysia, Soh Chin Aun.


Sebelum acara menyalakan api obor dimulakan, pelbagai persembahan diadakan yang berlatarbelakangkan pelbagai budaya dan agama masyarakat di Malaysia.


Turut hadir menyaksikan acara itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakop dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan bersama-sama 200 pelajar China yang sedang menuntut di Malaysia.


Sukan Olimpik Beijing akan diadakan Ogos ini.

- Utusan