Monday, September 29, 2008

Blue Grotta mengasyikkan

Marina Grande dilihat dari Anacapri
Pemandangan indah Pulau Capri.
Gua Biru di Pulau Capri diklasifikasikan sebagai gua batu kapur laut semula jadi paling unik di Itali KEINDAHAN Pulau Capri pasti membuatkan pengunjungnya rasa teruja terutama ketika berada di Grotta Azzura, yang lebih dikenali oleh pelancong sebagai Blue Grotto atau Gua Biru yang terkenal di Itali. Untuk ke destinasi penuh keunikan ini, pengunjung akan menaiki jetfoil dari Sorrento yang mengambil masa perjalanan kira-kira sejam. Pulau ini juga boleh dihubungkan melalui Naples.


Dari Sorrento, pengunjung akan ke Marina Grande iaitu pintu masuk utama ke Pulau Capri. Marina Grande adalah sebuah bandar pelabuhan yang sentiasa sibuk dengan kapal dan feri berulang-alik ke tanah besar Itali. Dari Marina Grande tumpuan seterusnya ialah Anacapri yang juga pusat perniagaan dan pentadbiran di pulau ini. Setelah meninjau dan berjalan-jalan di sekitar Anacapri termasuk di Piazza Umberto, penulis dan sekumpulan rakan bertolak ke Gua Biru sebelum matahari terbenam.


Gua Biru diklasifikasikan sebagai gua batu kapur laut semula jadi. Terminal ke lokasi itu boleh dihubungkan melalui jalan darat dari stesen bas di Piaza Vittoria Anacapri. Namun, perjalanan dengan bot dari Marina Grande memberi peluang pengunjung menikmati panorama indah di pulau ini. Jaraknya hanya empat kilometer di barat daya Marina Grande. Ketika penulis tiba, keadaan laut agak tenang. Difahamkan dalam keadaan cuaca buruk atau laut bergelora, perkhidmatan bot ke destinasi berkenaan akan dihentikan sebagai langkah keselamatan. Oleh kerana jumlah pengunjung agak ramai, mereka terpaksa bersabar menunggu giliran sewaktu di jeti Marina Grande


Dari Marina Grande, perjalanan dengan bot mengambil masa kurang daripada 15 minit. Namun, setelah sampai di kawasan berdekatan sebelum memasuki Gua Biru, pengunjung dipindahkan ke sampan-sampan kecil yang hanya boleh memuatkan dua atau tiga orang saja. Sekali lagi pengunjung terpaksa menunggu giliran di sekitar muka gua ini sebelum dibenarkan masuk. Pintu untuk memasuki gua ini agak sempit. Pengunjung dengan sampan muatan dua atau tiga penumpang terpaksa membongkok atau berbaring bagi melepasi mulut gua ini. Pemandangan di dalamnya amat mempesonakan lagi mengasyikkan. Kebiruan air di dalamnya memang jelas kelihatan. Dengan kawasan dalaman sepanjang kira-kira 60 meter dan lebar kira-kira 25 meter memberi cukup ruang dan kesempatan untuk pengunjung meneroka setiap sudut di dalam Gua Biru ini.


Pengalaman mendayung dan menyusuri Gua Biru ini memberi pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Setiap kocakan dayung mencecah air menerbitkan bunyi yang sungguh unik. Begitu juga gema suara yang diucapkan memberikan pengalaman yang sungguh luar biasa. Terdapat beberapa lagi gua kecil di dalamnya yang boleh disusuri. Sinaran cahaya matahari yang menyelinap masuk dari celah-celah batu di gua ini mencerahkan sedikit kawasan yang sebahagian besarnya gelap. Dengan pemandangan yang indah, udara dan cuaca yang sungguh segar dan nyaman, pengalaman meneroka Gua Biru pasti meninggalkan kenangan indah yang abadi. Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan berhati-hati sewaktu mendayung dan sentiasa mematuhi arahan juru pandu.


Dibuka mulai jam 9 pagi, pengunjung terakhir perlu menamatkan aktiviti mereka meneroka Gua Biru ini selewat-lewatnya hingga jam 5 petang. Sekitar kawasan ini juga turut menjadi lokasi penggemar aktiviti terjun skuba. Kami bertemu dengan sekumpulan ahli penerjun skuba lengkap dengan peralatan masing-masing. Tidak hairanlah lokasi ini menjadi pilihan kerana ia sememangnya menyajikan suatu panorama alam yang sungguh menarik lagi menakjubkan termasuk khazanah terumbu karang dan kejernihan air lautnya. Gua Biru ini dikatakan mempunyai legendanya sendiri. Ia pernah diabaikan sekian lama meskipun suatu ketika Maharaja Empayar Rom (Maharaja Tiberius) pernah menjadikannya sebagai tempat mandi.


Penduduk dan nelayan tempatan ketika itu menganggapnya sebagai berpuaka dan takut untuk menghampirinya. Ia diperkenalkan semula oleh seorang pelukis berbangsa Jerman, August Kopisch dan seorang nelayan tempatan, Angelo Ferraro pada 1826. Sejak itu Gua Biru ini menjadi terkenal dan terus dikunjungi oleh berjuta-juta pelawat dari seluruh dunia.


INFO Gua Biru


Fenomena kebiruan terjadi disebabkan pancaran cahaya matahari masuk menerusi celah lubang di bawah air. Cahaya diserap oleh air dan menghasilkan warna biru pada permukaannya.


Fenomena cahaya matahari menerjah dasar laut Gua Biru menyebabkan objek di dasar gua ini kelihatan berwarna seperti perak.


Rantai dipasang di pintu gua ini bagi membantu dan memudahkan pengunjung memasuki pintu gua yang sempit.


Lokasi ini sering menjadi pilihan dan dilawati oleh pemimpin dan selebriti terkemuka dari seluruh dunia.


Maharaja Maharaja Tiberius menjadikan gua ini sebagai tempat mandi
Seorang pelukis berbangsa Jerman, August Kopisch dan seorang nelayan tempatan, Angelo Ferraro memperkenalkan gua ini kepada pengunjung pada 1826

Pergunungan Alps




Kembara rel dari Bregenz, Austria ke ibu kota fesyen, Milan, Itali
PELUANG menaiki kereta api merentasi Pergunungan Swiss atau Swiss Alps boleh dianggap antara pengalaman hebat pernah dialami penulis. Bayangkan panorama gunung menghijau dengan puncak diliputi salji, deretan cottage atau rumah cantik dihiasi bunga segar, sungai mengalir tenang dan lembu peliharaan meragut rumput - semua elemen ini seolah-olah bersatu menerbitkan pesona yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Berkunjung ke Zurich, Switzerland, dua minggu lalu bagi membuat liputan sambutan 25 tahun jam tangan plastik keluaran Swiss, Swatch dan koleksi James Bond Villainnya, penulis dibawa The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd mengembara ke empat negara Eropah dalam tempoh singkat enam hari - sungguh mengujakan!
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Zurich, kami dibawa menaiki bas ke hotel penginapan di Lindau, Jerman. Penulis berulang kali meneliti program tugasan kerana tidak pasti apakah kami akan dibawa ke sebuah lagi negara di Eropah, iaitu Jerman. Masih menyangka berlaku kesilapan dalam program, rupa-rupanya Lindau adalah sebuah pulau di Jerman yang letaknya pada jarak kira-kira dua jam perjalanan dari Zurich.
Penulis juga mendapati lokasi sambutan ulang tahun ke-25 Swatch dan koleksi James Bond Villain pula di sebuah kemudahan konvensyen dan pameran di Festspielhaus di Bregenz, Austria. Keliru dengan kedudukan lokasi setiap acara, penulis merujuk peta lalu menyedari semua tempat dipisahkan Tasik Constance atau Bodensee dalam istilah Jerman. Tasik sepanjang 63 kilometer ini ‘dikongsi’ tiga negara iaitu Jerman, Switzerland dan Austria. Peluang berada di tiga negara dalam tempoh perjalanan dua jam, sungguh unik walaupun kadang kala keliru dengan faktor geografi.
Konsep ‘pintu terbuka’ dengan pemeriksaan hanya dibuat di pintu masuk utama di Zurich, membuatkan perjalanan menjelajah Switzerland, Jerman dan Austria amat menyeronokkan tanpa perlu berdepan kerenah anggota imigresen atau kawalan ketat pintu masuk. Meninjau persekitaran menghijau di Bregenz, Austria dan Lindau, Jerman jelas elemen Swiss cukup ketara pada seni bina, landskap dan kehidupan seharian masyarakatnya.
Tasik Constance yang mencapai keluasan 571 kilometer memberi pengaruh kuat terhadap kehidupan masyarakat setempat yang menghargai alam sekitar, keindahan flora dan fauna. Tidak hairanlah hampir setiap rumah menanam pokok bunga menghiasi jendela dan halaman sungguh menarik. Di Lindau misalnya, reka bentuk rumah, bangunan dan kedai begitu indah sehingga diri bagai terasa berada di dunia khayalan atau fairytale. Selesai program Swatch di Bregenz, kami memulakan kembara kereta api ke Milan. Pada mulanya kami terlepas tren pertama, tetapi mujur seorang pemuda Austria merapati kami lalu mencadangkan kami menaiki tren seterusnya ke Innsbruck, Austria sebelum mendapatkan sebuah lagi tren menuju ke Milan dari stesen Verona Porta Nuova.
Sebaik tren tiba dan meletakkan bagasi, bermulalah detik hebat bagi perjalanan rel melepasi Pergunungan Alps. Bagi tempoh 30 minit pertama, tren dinaiki melepasi beberapa kawasan penempatan pinggir bandar Bregenz dan beberapa daerah lain. Suasana bandar kemudian berubah apabila tren memasuki kawasan perindustrian yang mana banyak kilang berasaskan pertanian termasuk tenusu memenuhi pandangan.
Tidak lama selepas itu, rumah atau cottage dengan seni bina Swiss serta bunga hiasan beraneka warna mula diperhatikan sekali gus menandakan kami mula menghampiri kawasan pergunungan. Bagi tempoh empat jam berikutnya, penulis leka dengan pemandangan menakjubkan Pergunungan Alps. Banjaran gunung tinggi melangit, padang rumput menghijau, air terjun dan pohon pain meliputi hutan memberi impak sukar yang digambarkan. Teringat babak dalam filem muzikal hebat, The Sound of Music - begitulah aura kehebatan Swiss Alps. Perjalanan hampir lapan jam akhirnya membawa kami ke Milan, ibu kota fesyen dunia.
INFO: Pergunungan Alps

Pergunungan Alps atau Swiss Alps dikenali sebagai Schweizer Alpen dalam bahasa Jerman; Alpes suisses (Perancis) dan Alpi svizzere (Itali).

Puncak tertinggi Pergunungan Alps ialah Dufourspitze, berhampiran sempadan Swiss-Itali pada ketinggian 4,634 meter dari aras laut.

Gunung tertinggi dalam banjaran atau Pergunungan Alps ialah Dom iaitu pada ketinggian 4,545 meter dari aras laut.

Pergunungan Alps merangkumi 61 peratus daripada kawasan permukaan Switzerland atau 41,285 kilometer. Bagaimanapun, jumlah ini hanya 13.2 peratus daripada jumlah keluasan Pergunungan Alps sepenuhnya.

Pergunungan Alps menjadi antara destinasi percutian pilihan dunia. Switzerland misalnya, mempunyai rangkaian 62,000 kilometer laluan atau jejak yang diselenggara dengan baik.
Daripada jumlah ini, 23,000 kilometer terletak dalam kawasan pergunungan.

Di Switzerland, destinasi percutian musim sejuk dan ski pilihan ialah Valais, Bernese Oberland, Graubunden, Davos, Grindelwald, St Moritz dan Zermatt yang mempunyai kemudahan bermain ski sepanjang tahun.

Monday, September 15, 2008

Christchurch bandar dalam taman


Pemandangan hijau Banks Peninsula dari Port Hills.
Katedral mengekalkan seni bina neo-gotik.
Kota tradisi Inggeris dihiasi 740 taman yang direntasi Sungai Avon Christchurch adalah bandar kedua terbesar di New Zealand yang dikenali sebagai bandar dalam taman dan kaya dengan keindahan alam semula jadinya. Sejarah Maori menyebut Christchurch mula dihuni sejak 1000 Sebelum Masehi (SM).
Selain pendatang Eropah yang tiba di kepulauan itu pada Disember 1850, sebenarnya kawasan ini dihuni puak Ngati Mamoe, Ngai Tahu dan Waitaha yang berhijrah dari Pulau Utara pada abad ke 16.

Hari ini bandar yang tenang dalam penampilannya tetapi kelam kabut dari segi cuacanya, dihuni oleh pelbagai bangsa. Selain penduduk berketurunan Eropah, Christchurch juga dihuni oleh orang Maori dan Asia dengan keseluruhan populasi berjumlah 344,100 orang.
Dari segi geografi, Christchurch atau dalam bahasa Maori disebut sebagai Otautahi berhadapan dengan Lautan Pasifik. Ia terletak di hujung sebelah selatan Teluk Pegasus, iaitu antara Banks Peninsula dan Canterbury Plains. Christchurch juga kerap dirujuk sebagai pintu masuk ke Pulau Selatan.
Sesuatu yang paling jelas, jika menjejak kaki ke Christchurch, anda akan dapati sentuhan keinggerisan tradisional yang sangat kuat pada seni binanya.
Katedral dan kebanyakan bangunan lama di sini dibina dengan sentuhan seni bina neo-gothik. Malah, nama Christchurch itu sendiri bersempena sebuah kolej di Universiti Oxford.

Andai anda mahu melihat landskap Christchurch, anda boleh berkunjung ke Katedral Christchurch. Landskap bandar yang dihiasi 740 taman yang direntasi Sungai Avon, pasti memukau pandangan anda. Taman-taman di Christchurch dibina dengan penuh kreatif dan kerap mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Ia sering menjadi lokasi pelbagai festival dan karnival seperti Festival of Romance, Festival Busker Antarabangsa, Pesta Cahaya Lyttelton, Pertunjukan Bunga Antarabangsa Ellerslie dan Karnival Musim Sejuk. Bersiar-siar di Christchurch amat menarik jika anda menggunakan perkhidmatan trem atau bas pengantara.
Dengan harga tambang dikenakan NZ$14.00 (RM32.60) seorang, perjalanan anda hanya mengambil masa 25 minit menggunakan laluan sepanjang 2.5 kilometer. Anda akan dibawa meninjau Cathedral Square, Pusat Seni, Taman Botani, Sungai Avon dan Cathedral Junction.
Tarikan di Christchurch tidak terhenti di bandar saja kerana anda boleh menikmati keindahan alam semula jadi dan tinggalan aktiviti gunung berapi berjuta tahun lalu di Port Hills. Banjaran gunung yang terletak di selatan Christchurch, adalah sebahagian dari Banks Peninsula yang ketinggiannya antara 350 hingga 500 meter dari aras laut.

Port Hills terbentuk dari lebihan hakisan letupan gunung berapi, sekitar 6 hingga 12 juta tahun lalu. Justeru, landskapnya yang bergunung ganang dan berlembah menjadikan ia pusat rekreasi utama di Christchurch. Di kawasan ini juga terdapat 39 hutan simpan yang mana 31 daripadanya dikendalikan oleh Majlis Bandar Christchurch.
Selain Ports Hills, kawah hakisan gunung berapi yang juga menjadi sebahagian daya tarikan landskap Christchurch adalah Lyttelton dan Pelabuhan Akaroa yang kini sudah pun ditenggelami air. Soal makanan halal tidak susah di sini kerana Christchurch adalah lokasi pertemuan pelbagai bangsa dan kebudayaan.
Apa yang penting, anda mesti ringan mulut bertanya dan menyemak risalah pelancongan yang boleh peroleh sebaik saja mendarat di lapangan terbang. Jika anda ingin membeli belah cenderamata untuk dibawa pulang, lokasi utama bertumpu di High Street, Castle Street, Bridge Street, Church Street, Wick Lane, Saxon Square Shopping Centre dan Bargates.
Di kawasan terbabit anda boleh memilih pelbagai pakaian rekaan pereka tempatan selain cenderamata, coklat dan buku. Untuk mendapatkan barangan lebih murah dan boleh tawar menawar, pasar setiap Jumaat di Saxon Square boleh dikunjungi.
Selain buah-buahan dan sayur-sayuran organik di sini, anda boleh membeli keju buatan New Zealand selain kraftangan tempatan.
Bagaimana ke sana?

Malaysia Airlines menawarkan perkhidmatan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland dan dari Auckland, anda boleh menyambung penerbangan ke Christchurch dengan Air New Zealand.
Untuk penerbangan terus selama 10 jam dari Kuala Lumpur ke Christchurch anda boleh memilih Singapore Airlines.
* Jarak antara Auckland dan Christchurch ialah sejauh 762 kilometer dan ia memakan masa 16 jam, 43 minit jika anda memandu atau menaiki kereta.

Sydney, Melbourne atau Brisbane turut menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Auckland sebelum anda menyambung penerbangan ke Christchurch yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam.
INFO
Christchurch

Dihuni sejak 1000 Sebelum Masehi (SM)

Populasi berjumlah 344,100 orang membabitkan keturunan Eropah, Maori dan Asia

Kebanyakan seni bina lama di Christchurch mendapat sentuhan neo-gothik

Nama Christchurch diambil daripada salah satu kolej di Universiti Oxford

Dirujuk sebagai bandar dalam taman, Christchurch memiliki 740 taman di seluruh wilayahnya.
Mirip Acropolis, Athina Afea terletak di Pulau Aegina
Lokasi Aegina, Greece
Tinggalan sejarah, kebudayaan singkap keunikan tamadun Greek JIKA berkunjung ke Greece, jangan lupa menyenaraikan Aegina sebagai satu daripada destinasi lawatan anda. Terletak di dalam gugusan kepulauan Saronic, Aegina adalah antara pulau tercantik di Laut Mediteranean.
Dengan reputasi itu, Aegina tidak putus-putus menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara. Mewarisi tamadun Greek yang panjang, pulau dengan populasi sekitar 13,500 penduduk ini telah didiami sejak zaman neolitik lagi (kira-kira 3,000 tahun sebelum masihi). Suatu ketika dulu Aegina pernah menjadi pangkalan tentera laut yang utuh kepada Greece. Pulau ini juga menjadi benteng pertahanan dan penyumbang kepada kedaulatan Greece ketika peperangan dengan Turki pada 1821.

Sebaik saja tiba di pelabuhan Piraeus yang menghubungkan Aegina dari tanah besar Greece, jelas menunjukkan pesatnya industri pengangkutan laut dan perkapalan di negara ini. Difahamkan sebahagian besar pemilik kepada syarikat pengangkutan laut di Laut Mediteranean ini dikuasai oleh rakyat berbangsa Greek.
Dengan jarak kira-kira 16 batu nautika, perjalanan menaiki feri atau popular dengan perkhidmatan “Flying Dolphin” dari Piraeus mengambil masa hampir sejam. Sebaik saja menjejakkan kaki di jeti pelabuhan di Pulau Aegina, pengunjung terus bertemu dengan bandar Aegina yang terletak di bahagian barat pulau.
Pelabuhan ini kelihatan sentiasa sibuk dengan deretan kapal dan bot berulang alik atau sedang berlabuh.

Tidak jauh dari pelabuhan, terdapat deretan premis perniagaan menjual pelbagai barangan termasuk cenderamata untuk dibawa pulang.
Di antara barangan yang terdapat di sini termasuk tembikar, pakaian, barangan kulit, barang-barang hasil kesenian Greek seperti barangan kemas tradisional yang diperbuat daripada emas dan perak.
Pengunjung juga berpeluang untuk bersiar-siar dengan menaiki kereta kuda yang memang terkenal dan sinonim sebagai tarikan ke destinasi ini. Satu daripada tempat yang terkenal serta menarik perhatian pelancong di sini ialah Aghia Marina. Ia dapat dihubungkan melalui jalan raya dan terletak kira-kira 14 kilometer dari Aegina.
Sepanjang perjalanan pengunjung akan dapat menikmati kehijauan pulau juga panorama menarik dengan laut membiru, pantai yang bersih dan cantik. Sememangnya Aghia Marina menjadi pilihan pengunjung yang berhasrat menikmati keindahan laut dan pantai..
Peluang menikmati makanan laut segar dari Laut Mediteranean memberikan suatu pengalaman menarik. Terdapat banyak restoran, café dan hotel menghidangkan makanan laut yang cukup istimewa di sini. Kelihatan banyak bot nelayan moden berlabuh di sekitar perairannya. Perdika dan Vaia adalah penempatan nelayan moden yang indah dan terkenal di pulau ini.
Aegina turut terkenal dengan arkeologi dan monumen bersejarah. Di antara yang terkemuka ialah Athina Afea. Rumah ibadat zaman kuno ini hampir menyamai bentuk dan struktur bangunan Acropolis di Athens.
Athina Afea disifatkan sebagai monumen paling cantik di Teluk Saronic. Ia dibina dengan bahan tempatan pada abad ke-5 Sebelum Masihi (SM). Jaraknya hanya empat kilometer dari Aghia Marina

Satu lagi warisan Greek tua di sini ialah gereja Aghios Nektarios. Bangunan berciri Byzantine ini mempunyai seni bina unik yang bertingkat-tingkat dengan corak hiasan daripada batu-batu mozek. Melihat kepada kesan dan tinggalan sejarah silam tamadun Greek di sini, pengunjung bagaikan berada pada suatu peradaban zaman lampau yang amat jauh.



INFO: Aegina


Pulau ini mempunyai keluasan kira-kira 87 kilometer persegi

Puncak tertinggi di pulau ini ialah Gunung Oros dengan ketinggian 531 meter (1742 kaki)
Bandar Aegina didiami kira-kira 55 peratus, iaitu 7,500 penduduk daripada keseluruhan populasi pulau ini.

Ramai di kalangan hartawan Greece dari tanah besar mempunyai kediaman di pulau ini dan mendiaminya pada musim panas.

Wednesday, September 3, 2008

Ho Chi Minh kota unik



Pelancong teruja lihat budaya rakyat Vietnam BUNYI hon kenderaan seawal jam 6 pagi pantas menceriakan landskap Ho Chi Minh (HCM) atau suatu waktu dulu dikenali sebagai Saigon.
Bagaikan pesta keraian, begitulah suasana pagi yang melingkari kota yang pernah tercalar dek kancah peperangan ini. Ribuan motosikal yang memenuhi simpang siur di laluan utama HCM menjadi bukti kepesatan pembangunan bandar yang sarat dengan sembilan juta penduduk.

Kunjungan wakil media bersama Majalah 3 ke HCM atas undangan AirAsia baru-baru ini membuka ruang meneroka sendiri tabir baru destinasi pelancongan sebenar kota di selatan Vietnam itu. Kepesatan pembangunan HCM menangkis tanda tanya prospek pelancongan bandar bersejarah itu. Apatah lagi, penerbangan tambang murah, AirAsia menyediakan penerbangan terus dua hala setiap hari, sekali gus merapatkan hubungan Kuala Lumpur-Saigon.
Pertama kali menjejakkan kaki di bandar HCM, tiada yang lebih membuatkan kita teruja melainkan melihat betapa sibuk warganya menjalankan urusan seharian. Malah, bagaikan tidak lengkap identiti HCM tanpa motosikal.

Tinggalan kereta kebal di Terowong Cu Chi.
Seperti bandar pelancongan lain, HCM menjanjikan 1,001 tarikan yang mampu memberi kelainan daripada aspek percutian dengan menawarkan eksotika sejarah, peradaban dan elemen budaya sejagat. Malah, tidak lengkap percutian tanpa mencuci mata dengan membawa ole-ole pulang. Antara lokasi menarik yang mesti dilawati di HCM ialah Istana Presiden, Terowong Cu Chi, rumah ibadat Cao Dai, pasar Ben Thanh dan restoran terapung.
Istana Presiden ‘Reunification Palace’ (Dinh Thong Nhat) pernah menjadi kediaman dan pejabat bagi presiden Vietnam Selatan sepanjang Perang Vietnam (dikenali juga sebagai Perang Indochina Kedua, dari 1959 hingga 30 April 1975). Istana empat tingkat itu menjadi tempat rasmi penyerahan kuasa ketika kejatuhan Saigon pada 30 April 1975.
Sejarah istana itu bermula dari era penjajahan Perancis di Vietnam bermula 1858 sehinggalah pernah menjadi pejabat koloni Jepun pada 1945, sebelum Jepun menyerah kalah kepada tentera bersekutu pada Perang Dunia II dan Perancis kembali ke istana terbabit.

Terowong Cu Chi yang terletak 70 kilometer atau lebih dua jam perjalanan dari bandar HCM adalah satu daripada destinasi yang tidak harus diketepikan ketika berada di Vietnam.
Terowong yang menjadi medan pertahanan tentera tempatan ketika perang itu begitu unik dan cukup bersejarah. Rumah ibadat Cao Dai pula dikenali sebagai kuil suci Cao Dai mungkin boleh dilawati bagi melihat bagaimana kepercayaan agama yang menggabungkan pelbagai agama di seluruh dunia sebagai pegangan baru di Ninh Province.
Pasar Ben Thanh menjadi nadi ekonomi penduduk tempatan dengan menjual pelbagai barangan produk kraftangan, pakaian, barangan kain sutera hinggalah kepada barangan perhiasan rumah. Selain harganya yang jauh lebih murah, pelancong masih lagi boleh tawar-menawar. Terletak di tengah pusat bandar, pasar Ben Thanh memang sentiasa sibuk dengan kunjungan masyarakat tempatan dan pelancong luar.
Bermula seawal pagi, pasar itu beroperasi sehingga ke malam bagi memastikan pelbagai barangan dapat dibeli dan dijadikan ole-ole wajib. Restoran terapung adalah sebuah bot besar yang dijadikan restoran sambil menyusuri Sungai Saigon. Pelancong bakal disajikan dengan makanan laut segar sambil menyaksikan pertunjukan menarik dan nyanyian lagu tempatan.
Layanan bagaikan VIP bakal diterima sepanjang melayari di atas bot. Bagaikan tidak terasa perjalanan kerana sajian makanan begitu lazat untuk dinikmati. Pelayaran ini mengambil masa lebih dua jam. InfoHo Chi Minh

Ada lebih tiga juta motosikal bersimpang siur di bandar ini.

Motosikal adalah kenderaan utama di bandar ini kerana harganya yang jauh lebih murah, iaitu sekitar AS$300 (RM960). Kebanyakan motosikal adalah buatan China, Taiwan dan Korea.

Kebanyakan nama kedai dan jalan di bandar raya terbabit menggunakan bahasa Vietnam, malah hampir keseluruhan warga tempatannya berbahasa Vietnam.

Dua jenis mata wang digunakan iaitu Vietnam Dong dan Dollar Amerika Syarikat (AS$). AS$1 bersamaan 15,000 atau 16,000 Dong (kira-kira RM3.20).

Identiti orang Asia di kalangan rakyat Vietnam jelas kelihatan, kerana bertubuh sederhana, berkulit halus kuning langsat, malah warga tuanya masih mengenakan topi besar berbucu tajam di bahagian atas.

Pakaian tradisi seperti baju labuh ke betis juga masih boleh kelihatan pada sesetengah petugas hotel. Namun kebanyakan generasi mudanya lebih senang berkemeja-T atau kemeja.
Bagaimana ke sana?

AirAsia membuka pejabat jualannya di 254 De Tham STreet bagi memudahkan urusan penerbangan dari bandar HCM ke Kuala Lumpur dan HCM ke Bangkok, Thailand. Penerbangan HCM ke KL setiap hari manakala HCMC ke Bangkok empat kali seminggu.
Penerbangan HCM ke KL bermula daripada harga RM146 manakala RM116 dari KL ke HCM. Maklumat lanjut layari laman web www.asia.com.

Kaya anugerah alam


Panorama indah ciptaan Tuhan

Keindahan Jeju buatkan pengunjung berasakan berada di kepulauan Hawaii PULAU berbatu, Jeju terkenal di kalangan warga Korea dan Jepun, malah dianggap sebagai 'Pulau Tuhan' kerana dipenuhi ukiran batuan gunung berapi beragam bentuk.

Semuanya tercetus hasil kreativiti penduduk Jeju yang ingin membina budaya dan warisan tersendiri, lain daripada tanah besar Korea Selatan. Atifak sejarah paling terkenal adalah ‘ubiquitous harubang’ atau 'grandfather stone' yang diukir di atas blok batu lahar gunung berapi.

Pulau yang bertulang belakang banjaran gunung berapi Halla-san itu juga mempunyai keunikan tersendiri sehingga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Korea Selatan. Di Pulau Jeju, cuaca sentiasa panas lembap dengan iklim sederhana membuatkan berada di sana seperti berada di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat.

Mungkin faktor itu menyebabkan Pulau Jeju menjadi pilihan di kalangan pengantin baru yang ingin menikmati detik indah berbulan madu. Pulau Jeju turut dipanggil Jeju-do. Di dalam bahasa Korea ‘do’ bermaksud pulau dan daerah bertepatan dengan lokasi Jeju itu sebagai daerah di sebuah pulau yang besar.

Menurut sejarah, Pulau Jeju terletak di Selat Korea di daerah Jeollanam-do sebelum berpisah menjadi daerah lain pada 1946. Ia pernah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Doi, Dongyeongju, Juho, Tammora, Takra, Tamra. Bagaimanapun, sebelum berlaku peralihan kuasa pada 2006, Jeju mula digelar Cheju. Malah, sebutan betul Jeju adalah ‘che-ju’ tapi warga Korea mendapati ramai pelancong asing senang menyebut Jeju sebagai ‘je-ju’.

Jika anda ingin ke Pulau Jeju, usah risau dengan masalah bahasa kerana kebanyakan pemandu teksinya mahir berbahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin. Bagaimanapun, tidak salah jika anda tahu beberapa patah perkataan Korea bagi mengelakkan diri daripada ditipu. Adat melancong ke tempat orang, sudah tentu anda mahu merancang perjalanan aktiviti. Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak seperti mendaki gunung, inilah antara lokasi yang patut dikunjungi.

Selain menikmati keindahan pemandangan yang menakjubkan di Taman Negara Halla-san, pengunjung boleh mendaki Halla-san, puncak gunung berapi setinggi 1,950 meter yang menjadi gunung tertinggi di Korea Selatan.

Tempoh beristirahat juga boleh diisi sama ada dengan berbaring di tepian pantai sambil menikmati sang matahari terbit atau terbenam atau mungkin anda akan mempunyai hobi baru ketika berada di sana, iaitu merakam gambar.

Bagaimanapun, jika keindahan suasana tidak mampu memberikan kegirangan di hati, apa kata jika anda berkunjung ke Pulau Jeju ketika berlangsungnya Festival Api Jeongwol Daeboreum. Festival itu diadakan setiap tahun ketika kedatangan musim sejuk yang mana pembakaran jerami secara tradisi dibuat bertujuan untuk memusnahkan serangga perosak. Kebanyakan mereka menganggap api yang marak menjulang umpama muntahan lahar dari Halla-san.

Selain tarikan pelancongan, Pulau Jeju juga terkenal sebagai lokasi untuk kaki pancing. Jika berkesempatan mengunjungi pasar basah di sana, anda boleh membeli pelbagai spesies ikan segar, sotong, gamat dan bermacam jenis hidupan laut yang jarang ditemui.

Beriklim tropika menjadikan tanah di Pulau Jeju sebagai kawasan subur dengan hasil pertanian. Nanas dan limau tangerin serta madu yang diperoleh daripada bunga-bungaan tempatan memberikan suasana yang begitu berbeza. Pulau ini juga terkenal dengan cendawan Shitake dan pokok kaktusnya.

INFO: Jeju
Selain menyaksikan Festival Api Jeju, pelancong boleh mendaki gunung, menunggang kuda dan berendam di air terjun atau melihat batuan purba pelbagai bentuk.

Di Taman Hallim boleh meneroka gua bawah tanah dan melihat Taman Bonsai yang berusia lebih 150 tahun.

Gua Manjanggul sepanjang 1 kilometer dan setinggi 23 meter terbentuk daripada aliran lahar gunung berapi.

Gua Manjanggul terlalu sejuk dan air gua sentiasa menitik dari siling gua.

Makanan di Jeju agak masin kerana suhunya yang agak panas. Di Jeju juga jarang disediakan Kimchi ketika musim sejuk kerana cuaca musim sejuk tidak terlalu sejuk.

Bagaimana ke sana?

Hampir semua bandar di Korea mempunyai penerbangan terus ke Jeju. Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju menyediakan 12 penerbangan domestik dan enam penerbangan antarabangsa setiap hari. Lapangan terbang itu mampu menampung kehadiran 7.64 juta penumpang setiap tahun.

Panorama takjub Blue Mountains

PEMANDANGAN indah di Skyway Katoomba
TIGA gunung di kawasan Blue Mountains dikatakan mitos mengenai tiga beradik perempuan yang ditukar menjadi batu.
LOKASI Blue Mountains
Kawasan pergunungan simpan khazanah alam semula jadi serta pelbagai flora dan fauna BLUE

MOUNTAINS adalah satu daripada tempat paling menarik di Australia. Terletak pada jarak 104 kilometer di Barat Sydney, pergunungan itu adalah sebuah kawasan yang mempunyai daya tarikan dan panorama eksotik lagi mengagumkan.

Ia juga dikenali sebagai Australia's Grand Canyon dengan bentuk rupa buminya dikatakan mirip Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat. Kawasan ini berada dalam lingkungan Taman Negara seluas kira-kira 200,000 hektar yang berpusat di Katoomba. Lokasinya menjadi tumpuan pelancong yang ingin melihat dari dekat bentuk rupa bumi kawasan terbabit terutama Grand Canyon. Perjalanan ke Blue Mountains dengan bas dari Sydney mengambil masa kira-kira dua jam.

Di kawasan Blue Mountains juga terletak tiga gunung yang dikenali sebagai Three Sisters atau tiga beradik perempuan yang menjadi ditukar menjadi batu. Mengikut cerita, disebabkan terikat dengan adat dan peraturan nenek moyang, seorang ahli sihir menukarkan tiga anak perempuannya yang cantik menjadi batu.

Tiga beradik dikenali sebagai Meenhi, Weemala dan Gunnedoo dari suku Katoomba yang tinggal di Lembah Jamieson dikatakan mempunyai hubungan dengan tiga wira gergasi dari suku Napean. Berdasarkan asal keturunan, mereka tidak dibenarkan berkahwin mengikut undang-undang masyarakatnya. Namun begitu, jejaka terbabit tidak mempedulikan undang-undang berkenaan dan ingin memperisterikan perawan tiga beradik itu secara paksa.

Hasrat mereka ditentang oleh kumpulan yang ingin mempertahankan adat resam dan undang-undang berkenaan hingga terjadi peperangan yang hebat. Bagi menjaga keselamatan ketiga-tiga perawan itu daripada peperangan, bapa mereka yang juga ahli sihir menukar tiga gadis terbabit kepada batu. Apabila peperangan tamat mereka akan ditukarkan semula kepada bentuk asal. Hasrat itu tidak kesampaian apabila ahli sihir berkenaan terkorban dalam peperangan. Sebab itulah sehingga kini tidak ada siapa yang boleh menukarkan semula ketiga-tiga beradik itu kepada bentuk asalnya.

Akhirnya tiga adik beradik yang amat cantik paras rupa mereka kekal menjadi batu berbentuk tiga gunung yang terletak bersebelahan antara satu sama lain buat selama-lamanya, di kawasan Blue Mountains. Dari versi pengkaji dan penganalisis geografi fizikal dan ahli geologi pula menjelaskan muka bumi tiga gunung itu terbentuk kerana berikutan luluhawa yang memakan masa sejak ratusan ribu tahun lamanya.

Walau melalui proses apapun, mitos mahupun lulu hawa, keindahan, keeksotikan dan keunikan Blue Mountains dan Three Sisters cukup mengasyikkan dan mengagumkan. Ia menjadi antara pusat tumpuan pelancong berteraskan eko-pelancongan yang tersohor di bumi kangaru itu. Pada 2000 lalu, taman negara ini diletakkan di dalam senarai Kawasan Warisan Dunia (World Heritage Area).

Pengunjung boleh meneroka dengan merentasi dan menghayati ketakjuban fenomena ciptaan Maha Pencipta ini dengan menaiki skyway. Pengunjung juga boleh menyusuri celah dan ruang di dasar atau lantai Blue Mountains dengan menaiki railway' yang disediakan. Suatu pengalaman yang sukar dijelaskan dengan perkataan. Satu lagi khazanah alam yang menjadi tumpuan pengunjung di sini ialah Gua Jenolan. Ia adalah sebuah gua batu kapur yang amat menarik.

Pengunjung berpeluang menerobos ke dalam gua dan merasai fenomena alam semula jadi yang sungguh mengasyikkan. Untuk menyertai ekspedisi ini, pengunjung perlu tangkas dan cergas.

Kasut dan topi khas akan disediakan. Kawasan taman negara ini sebenarnya banyak menyimpan khazanah alam semula jadinya termasuk air terjun, lembah, cerunan, batu-batan berjeriji, hutan hujan dan pelbagai flora dan fauna.

INFO: Blue Mountains

Kawasan hutan sepanjang 40 kilometer di pergunungan ini terbakar selama 16 hari, antara 26 Disember 2001 hingga 10 Januari 2002.

Pekan Leura dan Katoomba menjual pelbagai bahan makanan dan minuman untuk bekalan di kawasan pergunungan.

Pelancong Jepun adalah yang paling ramai berkunjung ke kawasan pergunungan berkenaan, malah ramai yang menginap di hotel serta pusat penginapan yang ada di pekan Katoomba dan Leura.

Kebanyakan pemandu pelancong warga Australia yang membawa pelawat ke situ boleh berbahasa Jepun, bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelancong dari negara matahari terbit itu.

Harga rumah di Blue Mountains jauh lebih murah iaitu $150,000 dolar Australia berbanding S460,00 dolar Australia di Sydney, walaupun jaraknya cuma satu setengah jam perjalanan melalui jalan darat.

Azerbaijan


Sebuah hotel di Baku yang mengekalkan seni bina lama.
Pemandangan Pelabuhan Baku dan Masjid Bebi Heybat.

Baku kota tinggalan sejarah: 'Negara Api' dengan tapak arkeologi zaman Empayar Seljuk hingga kesan peninggalan pemerintahan Russia
REPUBLIK Azerbaijan adalah sebuah negara yang penuh dengan sejarah perjuangan tetapi tidak begitu dikenali. Sebelum ini, republik itu adalah sebahagian dari Kesatuan Soviet, tetapi sejak merdeka pada 1991, Azerbaijan mula memperkenalkan dirinya kepada dunia.
Oleh kerana sejarah perjuangan rakyatnya yang panjang, melawat Azerbaijan seperti melawat muzium. Negara itu penuh dengan tapak arkeologi sejak sebelum zaman Empayar Seljuk hingga kesan peninggalan pemerintahan Russia.

Azerbaijan bersempadan dengan beberapa negara, iaitu Russia di utara, Georgia di barat laut, Iran di selatan, Armenia di barat manakala Turki di barat daya. Justeru, penduduknya sangat unik dengan pengaruh dan campuran pelbagai kebudayaan. Paling ketara makanannya.
Kebanyakan menu makanan di Azerbaijan dipenuhi daging kambing. Misalnya, kebab kambing atau dikenali sebagai kebab Lyulya. Selain itu, turut popular ialah Sabza-Govurma Pilau, iaitu nasi yang dimasak bersama daging kambing. Baku adalah ibu negara republik itu, juga sebuah bandar pelabuhan terbesar. Ia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Baku Baru dan Baku Lama (Bandar Dalam).
Jika anda berjalan-jalan di Baku, pastinya kembara anda berbaloi kerana ia penuh dengan tinggalan sejarah. Di ibu kota itu terletaknya ‘The Walled City of Baku’ yang tersenarai dalam warisan budaya oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Di Baku Lama pula terletak Istana Shirvanshahs dan Menara Anak Dara yang menjadi lokasi pertama di Azerbaijan yang diiktiraf sebagai warisan tinggalan dunia oleh Unesco.
Selain itu, juga wujud berdozen masjid kecil, Taman Kirov iaitu taman peringatan untuk pejuang Azerbaijan yang gugur dalam Perang Nagorno-Karabakh dan mereka yang meninggal dunia dalam peristiwa “Januari Hitam” pada 1990. Pada 2003, Baku Lama diletakkan dalam senarai warisan paling berbahaya di dunia berikutan gempa bumi pada 2000 dan kurangnya kerja pemuliharaan dilakukan oleh kerajaan.
Dalam peta pelancongan dunia, Azerbaijan dipromosikan sebagai ‘negara api’ kerana pada zaman dahulu penduduknya memuja api. Azer bermaksud api. Azerbaijan pula adalah nama lama daripada puak Turki yang tinggal di wilayah itu. Azerbaijan juga kerap dirujuk sebagai tapak awal kehidupan manusia.
Malah, Laluan Sutera yang merentasinya menjadikan negara itu membangun seiring peradaban. Bagaimanapun, kerana ia berada di dalam Kesatuan Soviet, pembangunannya masih di belakang.
Namun, sesuatu yang tidak berubah sejak dulu, negara itu terkenal dengan sumber alamnya, iaitu minyak, kapas, minyak zaitun dan kaviar hitam, selain sutera dan fabrik. Justeru, potensi pelancongan di negara itu cukup besar.
Ini seiring dengan dasar buka pintu yang diamalkan oleh pentadbiran Azerbaijan hari ini merangkumi sistem sosial, politik dan reformasi ekonominya. Selain tinggalan peradaban dan seni bina, Azerbaijan juga popular sebagai destinasi pelancongan-pemburuan.
Biasanya, pelancong-pemburuan ini memilih Dagestan untuk memburu sepanjang musim.
Di sini, anda diberi lesen besar dan boleh meneruskan memburu di kawasan hutan simpan Gizilagach dan pada musim sejuk. Selain sinonim dengan negara pengeluar minyak, Azerbaijan terutama Baku kerap menjadi lokasi pelancongan semasa zaman Kesatuan Soviet.
Cuacanya yang panas, lembap dan berhadapan dengan Laut Caspian memberikan negara itu kelebihan.
Mungkin kerana kos yang tinggi untuk sampai ke Azerbaijan dan kualiti prasarana pelancongan yang masih boleh diperbaiki, negara itu belum lagi popular dalam peta pelancongan dunia.
INFO: Azerbaijan

Negara bekas wilayah Russia ini membentuk kerajaan sendiri pada 1991

Terkenal dengan pelbagai tinggalan seni bina merangkumi kubu, masjid, menara dan galeri.

Muzium, galeri dan masjid boleh ditemui hampir di semua bandar di setiap daerah di negara itu.

Terdapat lebih 115 buah muzium di negara ini.

Monumen paling unik adalah makam Momine-Khatun dan Menara Jusif.

Antara wilayah yang membentuk Laluan Sutera

Terkenal dengan minyak dan kesan tinggalan peperangan