Sunday, November 2, 2008

5 November 2008 : Remaja pecah rekod angkat beban guna jari kelingking

SASHELADEVI melakukan angkatan 41 kilogram menggunakan dua jari kelingking di Bukit Mertajam.

Remaja perempuan, E Shasheladevi, 17, mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records (MBR), semalam, selepas berjaya mengangkat bebanan 41 kilogram (kg) dengan menggunakan jari kelingking.

Rekod itu turut mengatasi catatan Guiness World Records (GWR) dilakukan seorang lelaki di luar negara tahun lalu yang mengangkat bebanan 40 kg dengan cara sama.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam itu pada mulanya menyasarkan bebanan 35 kg.

“Saya yakin untuk mengangkat sehingga 35 kg berdasarkan latihan sebelum ini, tetapi tidak sangka mampu melakukan angkatan sehingga 41 kg.

“Lebih mengejutkan, saya dimaklumkan turut berjaya mengatasi rekod GWR yang dilakukan tahun lalu dan berazam terus melakar nama Malaysia dengan kejayaan lain dalam bidang ini,” katanya selepas menerima sijil daripada Pegawai MBR, Ricky Tan.

Anak ketiga daripada empat beradik itu melakukan lima percubaan melalui angkatan 25 kg, 30 kg, 35, 40 kg sebelum mencecah 41 kg, yang tidak pernah dilakukan di negara ini.

Percubaan itu diadili Jurulatih Angkat Berat negara, Stefan Stefanov dan pengadil angkat berat, A Ramasamy di depan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Shasheladevi yang juga atlit angkat berat negeri, berkata dia sentiasa menanam keazaman untuk melakukan angkatan terbaik bagi mencatatkan nama dalam MBR , hasil tunjuk ajar jurulatih, M Thanabalasingam. Pada percubaan itu, murid Sekolah Kebangsaan Kampung Baru, Bukit Mertajam, T Thirilohgan, 10, turut mencatat nama dalam MBR apabila berjaya mengangkat beban 25 kg menggunakan jari tengah.

Sementara itu, Thanabalasingam berkata, dia gembira dengan kejayaan dua anak didiknya dengan seorang mereka ialah anak lelaki sulungnya.

No comments: