Monday, October 13, 2008

Wilayah Laut Hitam tarikan baru Turki

Seni bina kediaman di Trabzon, Turki
Trabzon mempunyai 2,500 spesies flora
Tarian rakyat di Trabzon

Selain sejarah, pemandangan semula jadi sungguh menakjubkan di Trabzon, Gumushane TURKI memang menarik untuk dikunjungi. Negara unik yang terletak di dua benua Asia dan Eropah itu bukan saja kaya sejarah tetapi juga keindahan alam semula jadi.

Trabzon dan Gumushane antara dua daerah di Wilayah Laut Hitam, di Turki yang sedang dipromosikan untuk dilawati pengunjung luar negara. Kini banyak kemudahan disediakan kerajaan negara itu termasuk menambah jumlah hotel dan kemudahan asas untuk pengunjung.

Seperti kata Datuk Bandar Trabzon, Mehmet Volkan Canalioglu dan Datuk Bandar Gumushane, Enver Salihoglu, kerajaan sedang menambah hotel bertaraf dua hingga lima bintang bagi menarik pelancong yang semakin bertambah di kedua-dua daerah itu.

Antara tempat paling menarik dikunjungi di wilayah itu ialah kawasan pergunungan Zigana yang diisytiharkan sebagai kawasan pelancongan pada 1991. Kawasan luncur salji pada musim sejuk dan pelbagai aktiviti lain seperti paragliding pada musim lain diadakan di kawasan pergunungan itu.

Pada musim panas keadaan cuacanya masih nyaman dengan pemandangan yang sangat indah. Setakat ini kebanyakan yang datang ke kawasan itu adalah pelancong dalam negara.

Karaca Cave atau gua batu kapur Karaca berusia lebih 13,000 tahun terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar di Gumushane turut menjadi tumpuan. Keindahan stalegtait dan stalegmait itu dibuka kepada orang ramai pada 1996. Udara dalam gua batu kapur itu dikatakan boleh memulihkan penyakit asma. Sehingga April lalu, gua itu sudah dilawati kira-kira 6,000 pengunjung dalam dan luar negara.

Masa seminggu sebenarnya tidak cukup untuk anda melawat seluruh Turki kerana semua kawasan menarik terletak berjauhan antara satu sama lain. Bagi rakyat Turki yang tinggal di kota seperti Ankara, mereka akan mengambil kesempatan bercuti dalam negeri di Wilayah Laut Hitam untuk menikmati keindahan alam dan kehijauan yang tidak ada di bandar besar.

Satu lagi yang menakjubkan di wilayah itu ialah lebih 2,500 spesies floranya. Pastinya menarik jika mengunjungi Trabzon dan Gumushane pada musim bunga.

Selain keindahan alam, Trabzon juga terkenal kerana kraftangan daripada emas, perak dan tembaga selain pakaian tradisional Trabzon yang selalunya di pakai ke istana yang masih dikeluarkan menerusi kaedah tradisi. Sebagai negara yang dikelilingi laut, wilayah itu terkenal dengan makanan laut segar.

Antara ikan yang menjadi kegemaran rakyat negara itu dan sentiasa menjadi hidangan ialah trout dan hamsis. Pelbagai jenis masakan yang disediakan sama ada digoreng atau dibakar. Selain ikan, bebola daging juga menjadi antara menu utama dan sangat terkenal di kalangan penduduk Trabzon.

Keenakan ikan bilis yang menjadi keluaran terkenal di Trabzon bukan saja menjadi bualan malah dijadikan puisi selain diceritakan dalam buku bertajuk Hamsiname yang diterbitkan pada awal kurun ke-20. Banyak lagi resipi tradisi rakyat Turki yang sedap dan boleh dinikmati.

Tapi kalau anda ke wilayah Laut Hitam jangan lupa merasa Kuymak, resipi tradisi warga Trabzon yang dimasak menggunakan butter dan keju. Selain itu, Horon dan Kemence, tarian rakyat di wilayah itu juga amat menarik dan tidak wajar dilepaskan untuk melihatnya. Lagu yang mengiringi tarian mereka sungguh mengujakan menggambarkan keceriaan rakyatnya.

Selalunya, pekerja hotel, tempat penginapan anda akan menarikan tarian rakyat ini sebagai tanda kegembiraan mereka menerima tetamu selain mengucapkan selamat pulang. Anda juga boleh bersama mereka menarikan tarian rakyat itu. Satu lagi yang menarik mengenai Trabzon ialah pasukan bola sepaknya yang menjadi kebanggaan rakyat. Pasukan itu sering menjadi juara Liga Turki.

Wilayah Laut Hitam ini ada segala-galanya dari sejarah, budaya, kraftangan, masakan, tarian rakyat malah pemandangan semula jadi. Selain Istanbul mungkin anda mahu melawat kedua-dua wilayah yang jaraknya tidak sampai dua jam dari Istanbul menaiki pesawat dan mendapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Trabzon.

Info: Wilayah Laut Hitam

Meliputi 18 peratus daripada Turki.

Pendapatan penduduk daripada pertanian.

Jagung dan hazelnut menjadi tanaman utama.

Menghasilkan satu pertiga daripada tanaman jagung di Turki.

No comments: